DONDANG SAYANG, sejenis nyanyian yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu
dan Cina Peranakan di Melaka. "Dondang" bermakna nyanyian, manakala "dondang
sayang" bermaksud nyanyian mengulit kasih.
Kini, persembahan dondang sayang diiringi alat muzik seperti biola, rebana, gong
atau tetawak, gendang, dan akordion. Alat muzik ini ialah satu gabungan yang simbolis yang
mencernakan satu sejarah kegemilangan negeri Melaka pada masa dahulu. Rebana berasal
dari Timur Tengah, biola berasal dari Portugis, dan gong warisan pedagang Cina. Daripada
gabungan ini, lahirlah peralatan muzik dalam dondang sayang. Bagaimanapun, alat muzik
yang penting ialah biola, rebana, gong atau tetawak, sementara alat sampingan ialah
akordion, marakas, tamborin dan gendang.
Persembahan dondang sayang dimulakan dengan gesekan biola, dikuti tingkahan
rebana dan gong. Pada waktu yang sama pantun dondang sayang akan dinyanyikan.
Jumlah pemantun tidak terhad tetapi berpasang-pasangan. Mereka mendendangkan pantun
empat kerat secara berlagu dengan berbalas-balas pantun sesama mereka. Pemantun akan
mendendangkan lagu mengikut muzik yang dimainkan. Setiap pantun soal harus dijawab
oleh pemantun seorang lagi. Sekiranya pantun itu tidak terjawab maka penyanyi yang ketiga
boleh mengambil alih nyanyian itu.
Ada empat jenis dondang sayang, iaitu dondang sayang Melaka, dondang sayang
Baba Peranakan, dondang sayang Tanjung Penyengat, dan dondang sayang Pulau Pinang.
Sungguhpun penjenisan ini lebih relatif sifatnya, setiap persembahan dondang sayang tetap
diminati oleh beberapa golongan masyarakat seperti Melayu, Cina Peranakan, India, dan
Portugis terutamanya di Melaka.
Dondang sayang turut dipertandingkan dalam pelbagai pertandingan pada peringkat
negeri dan kebangsaan, antaranya Pesta Dendang Rakyat dan Pertandingan Dondang
Sayang anjuran kerajaan.
Antara alat-alat muzik Dondang Sayang :